Pengambilalihan air: Selangor tawar RM9 bilion kepada 4 syarikat konsesi - KeadilanDaily.com | KeadilanDaily.com
Kerajaan Selangor telah mengeluarkan tawaran terbaru kepada empat buah syarikat konsesi air Selangor bagi pengambilalihan 100 peratus aset pengurusan air di negeri itu yang bernilai lebih RM9 bilion.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, tawaran itu dibuat kepada Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB), Bekalan Air Selangor (Syabas), Abass Sdn Bhd (ABBAS) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash), yang meliputi semua aset dan liabiliti syarikat.
Pengambilalihan itu katanya, akan melibatkan pemindahan aset air negeri kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), selaras dengan dasar air kebangsaan dan amalan di negara-negara lain.
“Kerajaan Negeri menawarkan pengambilalihan 100 peratus saham syarikat itu pada harga RM64.62 sesaham untuk Puncak Niaga; RM20.78 sesaham untuk Syabas; RM5.95 untuk SPLASH dan RM9.39 untuk ABBAS.
“Semua pekerja dan kakitangan syarikat juga terlibat dalam pengambil alihan ini. Nilai-nilai yang ditawarkan ini dibuat melalui proses yang teliti oleh firma audit profesional mengikut piawaian sekuriti antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Khalid tawaran itu adil dan wajar berpandukan kepada Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 dan Dasar Air Kebangsaan yang akan memberi pulangan yang adil kepada pemegang saham dalam syarikat terbabit.
Katanya lagi, dokumen tawaran itu juga menyatakan bahawa syarikat konsesi berkenaan boleh membawa perkara itu kepada Timbangtara Antarabangsa jika tidak bersetuju dengan harga ditawarkan.
“Oleh kerana Timbangtara Antarabangsa tidak mempunyai kepentingan dalam industri air tempatan, ia boleh membuat membuat keputusan bebas dan adil serta mengikut nilai pasaran yang perlu dipersetujui Kerajaan negeri dan syarikat konsesi,” ujarnya.
Selain itu, jelas Khalid, dokumen ini juga mengiktiraf aset air negeri bernilai lebih RM10 billion yang tidak pernah diambil kira oleh kerajaan terdahulu ketika membuat perjanjian penswastaan dengan syarikat konsesi berkenaan.
Menurutnya, masalah penstrukturan air yang berlaku di negeri itu membuktikan penswastaan air di negeri itu telah gagal dan perlu diuruskan secara holistik oleh kerajaan negeri.
“Siri-siri rundingan dan tawaran ini menunjukkan komitmen kami untuk menyelesaikan masalah ini,” tegasnya.